Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Penduduk di Kampung Pinang, Pedu, di sini, diselubungi ketakutan apabila sekumpulan gajah liar memusnahkan kawasan kebun mereka sejak lima bulan lalu.

Penduduk, Mohamad Shaari, 50, berkata mereka kini hidup dalam ketakutan termasuk untuk ke kebun apabila pokok pisang, sawit dan getah ditanam musnah angkara haiwan liar itu.

"Kami di sini hidup dalam kebimbangan, nak keluar menoreh pun takut, hendak buat kerja lain tak boleh, sudahlah nak sambut raya, banyak duit yang nak guna.

"Jika keadaan ini berlarutan, kami akan buat persiapan ala kadar saja, "katanya ketika ditemui di kawasan kebun Kampung Pinang di sini, hari ini.

Mohamad berkata penduduk kampung juga turut bimbang gajah ini akan lebih agresif apabila tiba musim buah tidak lama lagi.

Katanya ,kawasan kebun yang diserang sekumpulan gajah liar ini hanya kira-kira 300 meter dari kawasan penempatan penduduk.

"Mujur ada kawasan sungai jadi penghalang gajah untuk sampai ke kawasan penduduk, jika air sungai cetek tak mustahil gajah akan sampai ke kampung,"katanya.

Sementara itu, Shabari Abdul Rahman, 54, berkata, dia sendiri berdepan dengan detik cemas apabila bertemu dengan haiwan itu ketika ke kebunnya.

"Dua tiga malam sekali mesti jumpa. Takut itu ada tetapi kita terpaksa (menunggu di kebun) untuk menjaga tanaman kita.

PENDUDUK Kampung Pinang, Pedu menunjukkan tanaman mereka yang musnah akibat serangan gajah liar sejak lima bulan lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
PENDUDUK Kampung Pinang, Pedu menunjukkan tanaman mereka yang musnah akibat serangan gajah liar sejak lima bulan lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman.

"Selain kerosakan tanaman, kita takut ancaman nyawa. Saya sekurang-kurangnya ada senjata juga, tetapi saya orang bimbang keselamatan orang menoreh getah yang ke kebun awal pagi, "katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Harun, 56, memberitahu, tanaman pokok pisang yang diusahakan sebelum ini musnah hingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

"Sekali jual dalam 20 tandan (pisang) dengan anggaran seminggu, penduduk sepatutnya meraih hasil lebih RM1,000. Jadi ,dalam sebulan anggaran kerugian antara RM4,000 hingga RM5,000,"katanya.

Sehubungan itu, Muhammad berkata penduduk berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera untuk keselamatan penduduk dan tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 6:17 PM