GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pemilik syarikat di Dungun menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas ditipu seorang lelaki yang dilantik sebagai kontraktor bagi pembinaan stesen minyak di Kelantan.

Kejadian dipercayai bermula selepas lelaki berusia 50-an itu melantik lelaki dikenalinya untuk mengendalikan projek bernilai lebih RM1 juta pada awal Ogos tahun lalu.

Menurut sumber, kerja pembinaan sepatutnya bermula pada Ogos tahun lalu dengan projek dijangka siap pada Mac lalu.

Katanya, pihak syarikat kontraktor berkenaan dikatakan mengalami kerugian dan ditamatkan kontrak projek kerana dikesan berlaku pecah amanah dalam syarikat itu.

"Sebelum itu, pada November tahun lalu syarikat mangsa mengeluarkan invois tuntutan bagi kerja dilakukan ke atas projek itu kepada suspek.

"Namun, mangsa dimaklumkan wang itu digunakan untuk kegunaan peribadi sebelum mangsa meminta wangnya dipulangkan, tetapi suspek gagal berbuat demikian.

"Difahamkan, sehingga semalam, suspek gagal menyerahkan wang tuntutan sudah digunakannya menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selain mahu mendapatkan semula wangnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:24 PM