GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Hajat seorang jurujual membeli sebuah Proton Gen 2 terpakai tidak kesampaian selepas menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian RM5,000.

Kejadian bermula selepas wanita berusia 21 tahun ternampak iklan kereta terpakai berharga RM5,000 ketika melayari satu laman sesawang pada awal Mac lalu.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Taufik'.

"Hasil perbincangan, suspek meminta mangsa membayar deposit sebanyak RM1,300 ke akaun bank diberikan dan mangsa menurut arahan itu.

"Geran kereta diserahkan dan mangsa diminta menjelaskan baki harga iaitu RM3,700 pada 16 Mac lalu dan kereta itu sepatutnya diserahkan pada keesokan harinya.

"Namun suspek memberi alasan kereta itu sedang dibaiki di bengkel selain turut memberikan nombor telefon kononnya milik bengkel," katanya, hari ini.

Sumber berkata, selepas beberapa bulan mendakwa kereta di bengkel, suspek pada Jun lalu memaklumkan kepada mangsa bahawa kereta itu tidak boleh dibaiki dan menawarkan dua pilihan kepada mangsa.

"Pilihan itu sama ada mangsa mahu wangnya dikembalikan atau memilih kereta lain yang masih ada dan mangsa meminta dikembalikan wang.

"Bagaimanapun, wang itu tidak dikembalikan dan mangsa mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan polis, kelmarin," katanya yang memberitahu nombor telefon suspek juga sudah tidak boleh dihubungi lagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 3:24 PM