Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang pembantu tadika menanggung kerugian sebanyak RM167,525 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam dalam kejadian di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian bermula Januari lalu, apabila mangsa berusia 56 tahun menerima panggilan mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM68,000 kerana dimasukkan wad.

Menurutnya, selepas panggilan daripada pihak insurans itu, mangsa kemudian dihubungi oleh polis dari Selangor dan dimaklumkan terbabit dalam pengubahan wang haram serta rasuah.

"Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada ketua polis balai yang bertanyakan maklumat peribadi sebelum menerima panggilan daripada pihak pendakwa raya.

"Mangsa diminta memindahkan semua wang ke dalam salah satu akaun miliknya dengan nombor talian akaun itu sudah ditukar manakala nombor pinnya juga diberikan pihak suspek sambil memaklumkan wang milik mangsa akan dijaga Bank Negara.

"Suspek juga mengarahkan mangsa memadamkan setiap transaksi panggilan berkenaan dan mangsa memaklumkan memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaunnya seperti diarahkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada anak saudaranya ketika mahu meminjam wang bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

Katanya, pemeriksaan mendapati wang mangsa dipindahkan secara berperingkat ke akaun tidak dikenali dalam tempoh bermula 26 Januari hingga 9 Mac lalu membabitkan kerugian sebanyak RM167,525.

"Mangsa membuat laporan polis pada 19 Mac lalu untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 10:13 AM