Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Impian usahawan memiliki banglo idaman punah selepas ditipu kontraktor perumahan yang lesap bersama wang pendahuluan berjumlah RM42,500 sejak tiga tahun lalu.

Mohd Azrul Abu Hassan, 39, diperkenalkan dengan kontraktor berkenaan menerusi seorang saudara ketika mereka sekeluarga bekerja dan menetap di Arab Saudi.

Tertarik dengan gambar-gambar projek yang dimuat naik di media sosial syarikat kontraktor itu, Mohd Azrul memutuskan untuk bertemu dengan pemaju terbabit di pejabatnya di Setia Alam, Shah Alam ketika pulang bercuti pada penghujung 2019.

"Di pejabat kontraktor terbabit ada keratan akhbar berkaitan syarikatnya yang meyakinkan saya bahawa ia sebuah syarikat yang boleh dipercayai, selain dimaklum yang kontraktor itu banyak berurusan dengan pengusaha rumah inap, sekali gus menambahkan lagi keyakinan.

"Jadi kami bersetuju untuk membina sebuah kediaman yang saya panggil 'banglo idaman' seluas ke 408.77 meter persegi (m³) di sebidang tanah berkeluasan 603.86 m³ yang terletak di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

"Selepas membuat bayaran pendahuluan sebanyak lima peratus, saya pulang ke Arab Saudi dan mula berurusan dengan seorang arkitek yang bekerja di bawah kontraktor itu bagi mendapatkan perkembangan pembinaan banglo," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, pada Mac 2020, Mohd Azrul yang pulang untuk bekerja dari rumah di tanah air terkejut apabila mendapati tiada sebarang pembinaan dijalankan, malah tanah yang sepatutnya dibina banglo idamannya itu masih tidak terusik.

Dia cuba mendapatkan penjelasan daripada kontraktor, namun hampa apabila setiap pertanyaan dijawab secara acuh tak acuh oleh pemilik syarikat.

"Sebelum ini dia (pemilik) pernah kata sebab Covid-19 dia nak berehat tetapi saya hairan kenapa dia kata begitu sedangkan kerja lakaran pelan dan permohonan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) semuanya boleh dilakukan secara dalam talian sahaja.

"Sampai sekarang apabila saya semak, memang dia tak pernah failkan permohonan kepada PBT untuk memulakan pembinaan, bermakna sejak dari awal lagi memang tiada permohonan dihantar.

"Saya hantar mesej kepada dia tetapi dia tak balas dan bila lama sangat tak dibalas saya anggap dia dah lari. Masalahnya saya dah bayar RM42.500, jadi saya beritahu dia jika ada masalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini kita boleh berbincang berkenaan pemulangan semula wang deposit," katanya.

Mohd Azrul berkata, tidak menyangka dihubungi seorang individu yang turut menjadi mangsa syarikat itu ketika dia hampir berputus asa untuk mendapatkan semula wangnya.

"Rupa-rupanya ramai lagi telah menjadi mangsa syarikat kontraktor ini, jadi kami ambil keputusan untuk buat 'support group' bagi bertukar pendapat dan membincangkan langkah seterusnya bagi menuntut semula wang kami yang telah ditipu.

"Salah seorang mangsa adalah anggota polis dan dia yang telah mengajar kami, menunjukkan jalan bagaimana untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kontraktor terbabit," katanya yang .

"Jadi saya pun buat laporan polis pada 31 Oktober 2022, dan kami membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana kami risau orang lain juga menjadi mangsa," katanya.

Mohd Azrul memberitahu, pada 17 November 2022, dia bersama dua lagi mangsa dan kontraktor terbabit dipanggil ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menyelesaikan kemelut anatra mangsa dan syarikat berkenaan.

Katanya, selepas perbincangan bersama Presiden TTPM yang mendengar kes mereka, pihak kontraktor bersetuju untuk memulangkan wang berjumlah RM39,000 selepas mengambil kira kos upah arkitek dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh syarikat pembinaan terbabit.

"Kontraktor terbabit bersetuju untuk membuat pembayaran secara berjadual sebanyak enam kali kepada saya bermula Januari namun sehingga kini saya hanya menerima bayaran balik RM1,000 sahaja daripada pemaju.

"Saya telah buat aduan kepada penguat kuasa KPDNHSP dan diberitahu tindakan akan diambil selepas 14 hari aduan diterima tetapi sekarang dah lebih dari tempoh diberikan dan saya masih lagi menunggu maklum balas dari mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu membabitkan perjanjian antara mangsa dan kontraktor.

"Perjanjian antara mangsa dan kontraktor dibuat di pejabat lama syarikat di Shah Alam melibatkan pembinaan bernilai RM850,000 untuk tempoh lapan bulan. Mangsa telah membuat pembayaran sekitar RM43,000.

"Suspek bagaimanapun gagal memulakan kerja pembinaan terbabit dan memberikan pelbagai alasan. Mangsa diminta untuk merujuk kes ke TTPM atau mengambil tindakan sivil memandangkan kedua-dua pihak ada membuat perjanjian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 1:44 PM