Maiamalina Mohamed Amin dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Perdana Menteri meminta orang ramai yang masih terjejas dengan Covid-19 supaya segera membuat permohonan Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Secara Bersasar sebelum 30 September ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga 11 September lalu, lebih 380,000 peminjam sudah mengesahkan mereka benar-benar memerlukan bantuan itu.

Katanya, jumlah itu berdasarkan perbincangan institusi perbankan dengan lebih 1.4 juta peminjam di seluruh negara.

"Sukacita saya ingin memaklumkan 98 peratus permohonan Moratorium Lanjutan dan Bank Bersasar diluluskan.

"Kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memastikan institusi perbankan memainkan peranan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang benar-benar memerlukan dalam menghadapi tempoh mencabar ini," katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin, hari ini.

BANGUNAN Bank Negara. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Bank Negara. FOTO arkib NSTP

Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Secara Bersasar untuk membantu golongan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bank Negara Malaysia pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana dalam tempoh enam bulan bermula 1 April.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:13 PM