ABD Rahim ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
ABD Rahim ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Hayati Ibrahim


BANK di negara ini berkemampuan melaksana pakej moratorium lanjutan kerana mempunyai 'buffer' mencukupi untuk menanggungnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri.

Menurutnya, segala keputusan untuk melanjutkan tempoh moratorium dikawal selia sepenuhnya Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pembabitan Persatuan Bank-Bank Malaysia.

"Sebanyak RM100 bilion daripada jumlah keseluruhan RM295 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Prihatin (Penjana) adalah inisiatif untuk pelaksanaan moratorium yang disediakan bank.

"Setakat ini, pihak bank menanggung RM66.6 bilion pakej moratorium yang sudah dilaksanakan sehingga kini," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin mengetahui sama ada bank di Malaysia berkemampuan melaksanakan moratorium selanjutnya jika keadaan ekonomi kurang memuaskan untuk tempoh akan datang.

Terdahulu, Abd Rahim berkata, kerajaan akan melaksanakan moratorium bersasar selepas moratorium secara automatik tamat pada September ini, kepada individu terjejas seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, morotarium bersasar dan peruntukan fleksibiliti pembayaran balik dikhaskan untuk golongan yang memerlukan iaitu individu kehilangan pekerjaan pada 2020 dan belum mendapat pekerjaan lain, dengan lanjutan hingga tiga bulan lagi.

"Kedua, individu yang masih bekerja tetapi terjejas akibat Covid-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman sepadan dengan pengurangan gaji mereka bergantung kepada jenis pembiayaan.

"Institusi perbankan akan menawarkan tempoh fleksibiliti ini selama sekurang-kurangnya enam bulan, dan institusi perbankan juga akan mempertimbangkan lanjutan fleksibitiliti untuk tempoh berkenaan dengan mengambil kira gaji peminjam pada ketika itu," katanya.

Beliau berkata, bagi pembiayaan sewa beli, peminjam yang terjejas akan ditawarkan jumlah jadual ansuran pembayaran yang disemak semula supaya ia selaras dengan Akta Sewa Beli 1967.

Menjawab soalan tambahan kedua daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada tindakan kebankrapan boleh diambil terhadap peminjam, beliau berkata, tindakan undang-undang terhadap golongan ini dapat dielakkan kerana ramai yang akan mendapat faedah.

"Proses yang sedang dilaksanakan sekarang adalah moratorium bersasar, bererti ramai yang akan dapatkan faedah. Jadi, tindakan untuk melaksanakan tindakan undang-undang terhadap peminjam dapat dielakkan," katanya.

Beliau berkata, peminjam yang menghadapi masalah boleh mengunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi individu, manakala Perusahaan Kecil Sederhana boleh mendapatkan bantuan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) untuk mendapatkan nasihat kepada peminjam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 11:44 AM