Maiamalina Mohamed Amin


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa Malaysia satu-satunya negara yang melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan bagi membantu rakyat menghadapi implikasi kewangan akibat Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, lebih 7.7 juta rakyat atau 93 peratus peminjam individu menerima manfaat daripadanya termasuk lebih 243,000 perniagaan atau 95 peratus daripada peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Ketika ini bank secara proaktif sedang giat menghubungi peminjam untuk menawarkan bantuan bersasar termasuklah, memanjangkan tempoh pinjaman agar jumlah ansuran bulanan dapat dikurangkan.

"Mengubah terma utama dan syarat pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah (sebagai contoh, kemudahan overdraf ditukar kepada pinjaman bertempoh) atau memberi pelepasan lain yang bersesuaian sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

"Bank (setakat ini) sudah menghubungi lebih daripada 394,000 peminjam untuk menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bagi membantu peminjam masih terjejas," katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Menurutnya, sehingga 20 Julai lalu, nilai moratorium yang ditawarkan berjumlah RM59 bilion dan kerajaan sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta sektor perbankan bagi inisiatif berikutnya yang boleh dilaksana mengikut keadaan semasa pada masa hadapan.

Katanya, inisiatif terbaharu itu akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

TENGKU ZAFRUL. FOTO Arkib NSTP
TENGKU ZAFRUL. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 12:47 PM