Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini mengarahkan semua sekolah yang diisytiharkan sebagai kluster Covid-19 di seluruh Sabah ditutup serta-merta.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, arahan itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah kelmarin.

Menurutnya, tempoh penutupan adalah selama dua hingga tiga minggu bergantung kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

"Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah yang bermesyuarat pada 26 Januari lalu memutuskan supaya pelaksanaan tindakan itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

"Keputusan itu sudah disampaikan melalui surat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 27 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam kalangan pelajar termasuk guru dan kakitangan sekolah terbabit.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan yang meningkat sejak 1 Januari lalu.

Katanya, sejak tarikh itu sehingga 26 Januari, sebanyak enam kluster institusi pendidikan dilaporkan aktif di negeri itu di enam lokaliti di bawah pemantauan JKNS membabitkan fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Ini mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 26 Januari lalu yang prihatin dengan laporan jangkitan Covid-19 yang berlaku di beberapa sekolah di negeri ini.

"Justeru, tindakan proaktif dan bersifat preventif perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung penularan Covid-19 di institusi pendidikan negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 kluster membabitkan institusi pendidikan di bawah seliaan KPM dilaporkan di Sabah setakat ini.

Hari ini saja, satu kluster baharu dilapor membabitkan murid dan guru sekolah rendah serta ahli keluarga mereka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas, Kota Belud.

Sebelum ini, sebanyak sembilan sekolah menengah dikenal pasti terbabit dalam kluster institusi pendidikan di Sabah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan; SMK Ranau; SMK Sandakan; SMK Kundasang; SMK Tun Fuad Stephen, Kiulu; SMK Balung, Tawau; SMK Keningau; SMK Terusan, Lahad Datu dan SMK Tandek 2, Kota Marudu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 10:35 PM