GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Dua lagi kluster Covid-19 berkaitan tempat kerja dilaporkan di Sabah semalam, masing-masing membabitkan pekerja kilang kelapa sawit dan syarikat insurans.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster pertama dikesan di Lahad Datu selepas pekerja dari Kilang Sebrang, Mukim Silabukan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Hospital Lahad Datu pada 22 Mac lalu.

Beliau berkata, kes indeks itu kemudian disusuli satu lagi kes melalui saringan bergejala pada 24 Mac lalu, juga membabitkan pekerja dari kilang sama.

"Kluster Sawit Sebrang di Daerah Lahad Datu itu mencatat tujuh lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes setakat ini.

"Kontak rapat kes sudah dikenal pasti dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Katanya, kluster kedua dikenali sebagai Kluster Kolam Lintas di daerah Penampang dikenal pasti membabitkan tujuh pekerja syarikat insurans di daerah itu.

Beliau berkata, kes indeks dikesan positif Covid-19 pada 24 Mac lalu melalui saringan bergejala, disusuli enam lagi kes hasil saringan kontak rapat.

"Nama kluster berdasarkan tempat kes bekerja atau membuat lawatan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sebanyak 51 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah semalam, manakala seramai 66 orang dilaporkan sembuh menjadikan baki pesakit yang masih dirawat seramai 391 orang.

Sementara itu, katanya daerah zon hijau meningkat kepada lima semalam selepas Ranau menjadi kawasan terbaru tiada kes aktif.

Empat daerah berada dalam zon hijau ialah Tongod, Semporna, Kuala Penyu dan Pitas.

Daerah yang masih dalam zon merah ialah Tawau, Keningau, Kota Kinabalu dan Kota Belud, manakala daerah Penampang, Kalabakan, Nabawan dan Kinabatangan dalam zon jingga.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 10:49 AM