PETUGAS KKM melakukan proses ujian saringan Covid-19 ke atas penumpang penerbangan dari Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Bernama
PETUGAS KKM melakukan proses ujian saringan Covid-19 ke atas penumpang penerbangan dari Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dikesan positif Covid-19 dalam Kluster Bangau-Bangau di Semporna, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kenaikan kadar positif di kawasan itu membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian jangkitan adalah 65.56 peratus.

Katanya, setakat ini 421 individu sudah menjalani saringan dan 276 individu dikesan positif bagi kluster itu.

"Apa kita lakukan adalah memulakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di kawasan itu dan meningkatkan saringan terhadap penduduk.

"Ini antara kluster yang kita bimbangkan kerana wabak sudah berada dalam komuniti itu dan menjangkiti ramai individu," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, semua penduduk di kawasan itu disaring dan kes positif akan diasingkan dan diberi rawatan bagi mengawal penularan jangkitan.

Selain itu, katanya, KKM dengan kerjasama pihak berkuasa turut melaksanakan sekatan jalan raya di kampung berkenaan dan memperketatkan kawalan sempadan.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPDB Secara Pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, di Sabah sehingga 12 Oktober.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 7:57 PM