FOTO Bernama
FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencapai persetujuan untuk menghentikan kempen menentang calon masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Bingkor.

Menerusi persetujuan itu, PBS tidak lagi memasang bahan kempen parti itu di kedua-dua kerusi, manakala STAR yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menyatakan akan membantu calon PBS di Api-Api dan Bengkoka di mana STAR dikatakan menaja calon Bebas.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, persetujuan itu dicapai selepas perbincangan beliau dengan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Hamzah berkata, persetujuan itu penting dalam usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengambil alih kuasa daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Berikutan itu, katanya tiada lagi isu pertembungan di antara PBS dan STAR khususnya di Tambunan dan Bingkor, sebaliknya kedua-dua parti bekerjasama untuk memenangkan calon STAR di kerusi itu.

"Bagi menentukan bahawa kita dapat mengambil alih kuasa daripada kerajaan WARISAN, sudah tentulah kita mahukan kemenangan yang besar. Dalam perbincangan yang kita lakukan dalam beberapa hari ini, empat kawasan kita kenal pasti iaitu Tambunan, Bingkor, Api-Api dan Bengkoka.

"Di Tambunan hanya satu calon iaitu Dr Jeffrey, begitu juga di Bingkor, hanya calon STAR yang kita sokong, manakala di Api-Api dan Bengkoka STAR akan membantu kempen calon PBS.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengorbanan yang diberikan kepada kita terutama calon- yang menarik diri untuk memastikan bahawa tiada lagi ugutan dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Dr Jeffrey dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim menandatangani surat persetujuan itu, di sini, hari ini.

Di Tambunan, Dr Jeffrey ditentang calon PBS, Silverius Bruno, manakala di Bingkor, calon PN dari STAR, Robert Tawik ditentang Peter Jino Allion dari PBS.

Hamzah berkata, empat lagi kawasan yang PBS dan STAR bertembung akan dibincang dan cuba diselesaikan dalam masa tetdekat.

Sementara itu, Jeffrey menyifatkan persetujuan itu sebagai satu usaha positif ke arah kerjasama di antara PBS dam STAR bagi menentang calon WARISAN Plus.

"Dengan adanya persetujuan kerjasama ini di beberapa kawasan saya yakin ia beri impak besar kepada kawasan lain untuk memberitahu penyokong kita supaya mengubah suai kempen dengan hanya menyokong satu calon di bawah GRS," katanya.

Dalam pada itu, Jahid berkata, Presiden PBS memutuskan supaya mereka menyokong calon PN di Tambunan dan Bingkor serta menghentikan kempen menggunakan lambang PBS di kedua-dua kerusi.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 4:03 PM