DEWAN Undangan Negeri Sabah. FOTO arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri Sabah. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


PARTI Solidariti Tanah Airku (STAR) mengesahkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Paginatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan depan.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, dua kerusi itu sudah pasti diwakili STAR, namun parti berkenaan masih lagi berunding dengan rakan parti di bawah Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan kerusi lain.

Katanya, DUN Paginatan bakal diwakili parti itu selepas penyandangnya, Datuk Abidin Madingkir yang meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akhir bulan lalu membuat keputusan meneruskan perjuangan politik menerusi STAR.

Beliau berkata demikian selepas menerima kemasukan Abidin bersama kira-kira 1,000 bekas ahli UPKO ke dalam STAR pada program di Kampung Lohan, Ranau, semalam.

Abidin antara 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang beralih arah menyokong pembangkang diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan mengambil alih kerajaan pada akhir bulan lalu.

Cubaan itu gagal berikutan pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selepas menerima permohonan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

STAR turut mengekalkan Abidin untuk mempertahankan Paginatan berdasarkan sokongan kuat pengikutnya di kawasan itu, manakala Jeffrey sudah pasti bertanding semula di Tambunan.

Sementara itu, mengulas berhubung hasrat Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mengambil alih Tambunan pada PRN kali ini, Jeffrey berkata, setiap parti berhak memilih kerusi yang mahu ditandingi tetapi terpulang kepada rakyat menentukan.

Tambunan adalah kerusi tradisi PBS yang disandang bekas presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari 1976 sebelum jatuh ke tangan Jeffery yang juga adiknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Selain Tambunan, STAR juga menang di kerusi DUN Bingkor, manakala satu lagi kerusi iaitu Sook juga disandang STAR selepas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Ellron Angin meninggalkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan menyertai STAR pada akhir 2018.

Kedua-dua kerusi berkenaan juga dijangka ditandingi STAR pada PRN bulan depan.

Berhubung penggunaan lambang, Jeffrey berkata, pemimpin semua parti akan berbincang mengenai baik buruk cadangan menggunakan satu lambang bagi mewakili pasukan PN dalam mesyuarat yang dijangka diadakan sebelum akhir bulan ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 11:12 AM