Mohamad Noor (kiri) menunjukkan satu uncang syiling yang dirampas di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Mohamad Noor (kiri) menunjukkan satu uncang syiling yang dirampas di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Geng Amir Kenji yang dipercayai terbabit 19 kes pecah pejabat kerajaan dan sekolah di daerah ini sejak dua bulan lalu, tumpas selepas penahanan empat lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun dan berasal dari Pahang, Kelantan serta Selangor, ditahan dalam dua serbuan pada 13 September lalu.

Katanya, serbuan pertama oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 6.30 petang, menahan sebuah kereta dinaiki tiga suspek di hadapan bank di Taman Tas, di sini.

"Suspek cuba melarikan diri namun gagal dan pemeriksaan lanjut dalam kereta menemui tujuh telefon bimbit pelbagai jenama.

"Susulan itu, pemeriksaan dibuat di rumah sewa mereka yang menemui barang-barang dipercayai hasil samun dilakukan, sebelum seorang lagi suspek diberkas di Indera Mahkota kerana membeli hasil curi daripada suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, selain telefon bimbit, turut dirampas ialah tiga komputer riba, tujuh beg pelbagai jenis, empat bentuk cincin, satu uncang wang syiling, satu unit dron dan seutas jam tangan yang keseluruhannya dianggar bernilai RM35,000.

Katanya, suspek tidak bekerja dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkait dadah serta jenayah, manakala ujian saringan mendapati mereka positif dadah.

"Modus operandi kumpulan ini ialah dengan memecah pejabat kerajaan dan sekolah antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi. Seorang suspek akan masuk ke dalam bangunan, manakala dua lagi berkawal di luar bangunan.

"Dengan penahanan ini, kita berjaya menyelesaikan 19 kes pecah sekolah dan pejabat kerajaan di Kuantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 4:54 PM