Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Mawar' dianggotai empat individu termasuk seorang pelajar sekolah menerusi Op Pintu di Bertam Perdana di sini dan Sungai Petani, Kedah pada Rabu lalu.

Serbuan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada 16 mangsa sekitar daerah Seberang Perai Utara memaklumkan pelbagai barangan berharga hilang selepas kediaman mereka dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata melalui siasatan dijalankan membawa polis ke sebuah kediaman di Bertam Perdana pada jam 3.40 pagi sebelum menahan tiga lelaki yang ketika itu sedang melakukan kegiatan pecah rumah.

"Soal siasat dijalankan ke atas tiga suspek itu kemudian membawa kepada satu lagi serbuan di Sungai Petani, Kedah dan kita menahan seorang wanita.

"Kesemua suspek ditahan berusia lingkungan 16 hingga 37 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan itu polis turut menemui semula barangan yang dicuri suspek yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM250,000.

"Pelbagai barangan antaranya beg berjenama, kasut, telefon bimbit, komputer riba, matawang asing, wang tunai, barang kemas, peralatan pertukangan dan peralatan pecah rumah serta kenderaan yang digunakan dalam kegiatan ini dirampas untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, kegiatan yang mula bergiat aktif sejak Februari lalu itu menyasar kediaman ditinggalkan antara tempoh dua dan tiga hari.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan pergi ke mana-mana kawasan perumahan di daerah ini sebelum menjalankan pemerhatian ke atas penghuni kediaman untuk mencari waktu yang tepat untuk mereka melakukan kegiatan terbabit.

"Suspek menyasar kediaman penghuni yang meninggalkan rumah antara dua ke tiga hari yang mereka akan pecah masuk kediaman pada hari ketiga melalui pintu belakang atau laluan tengah yang terlindung supaya kegiatan mereka tidak diketahui," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek berjaya menyelesaikan kesemua kes yang dilaporkan mangsa di daerah ini.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kita akan mohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh penahanan bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mohd Radzi (kanan) menunjukkan antara barangan kes pecah rumah yang telah dirampas selepas menumpaskan ‘Geng Mawar’ ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kepala Batas di sini. FOTO DANIAL SAAD
Mohd Radzi (kanan) menunjukkan antara barangan kes pecah rumah yang telah dirampas selepas menumpaskan ‘Geng Mawar’ ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kepala Batas di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 4:05 PM