FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

POLIS menahan enam lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan premis di sekitar Sungai Siput pada 16 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, penahanan mereka itu dibuat susulan 32 laporan kes pecah rumah dan premis yang diterima sejak Januari lalu.

Menurutnya, polis menahan empat suspek yang merupakan Geng Apu Boy dan Geng Usop berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun selepas mereka baru memecah masuk sebuah rumah di Taman Kledang kira-kira 5 pagi.

“Bertindak atas maklumat, kami turut menahan dua lelaki pada hari yang sama selepas mereka turut disyaki terbabit dalam kejadian pecah masuk sebuah pusat mencuci kenderaan.

“Polis merampas pelbagai barangan curi antaranya sebuah kereta dan motosikal, telefon bimbit, kamera, barangan kemas, duit syiling, jam tangan, peralatan kedai mencuci kereta, tong gas yang dianggarkan bernilai RM80,000 dan pelbagai peralatan untuk pecah masuk,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini.

Mohd Khaizam berkata, polis masih mengesan dua suspek dipercayai ketua kepada kedua-dua kumpulan itu yang dikenali sebagai S Ravisankar, 36, beralamat belakang Sekolah Shing Chung serta Mohd Jusof Halim, 27, beralamat Jalan Aman, Kampung Bahagia.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua kumpulan itu aktif melakukan jenayah sejak tahun lalu dan kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau, malah ada antara mereka yang pernah menjalani hukuman di penjara.

Mohd Khaizam berkata, modus operandi kedua-dua kumpulan itu yang sering melakukan aktiviti jenayahnya pada tengah malam ialah mengumpil pintu atau tingkap premis.

Katanya, semua suspek direman sehingga 28 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri kenderaan bermotor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:14 PM