GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 12,885 penduduk di Kota Setar sudah melakukan saringan Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dikuat kuasakan pada Jumaat lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, penduduk yang disaring adalah kontak rapat kepada kes positif dan juga yang berisiko tinggi dijangkiti.

"Turut disaring individu yang bergejala agar pengesanan awal boleh dibuat bagi membendung penularan secara lebih berkesan.

"Saringan kes masih diteruskan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menganggarkan antara 15,000 hingga 20,000 penduduk di daerah ini akan disaring sepanjang PKPD," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Fikri berkata, keputusan saringan yang dilakukan ke atas setiap individu dapat diketahui dalam tempoh tiga hari atau 72 jam.

Katanya, individu yang didapati positif akan dihubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

"Individu yang tidak dihubungi selepas 72 jam saringan dibuat, diminta untuk terus mengamalkan norma baharu yang disarankan.

"Bagi individu yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah, mereka diminta kekal duduk di rumah. JKN akan memantau perkembangan jangkitan Covid-19 yang masih menular," katanya.

Menurutnya, orang ramai digesa tidak menularkan berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi akan mencetuskan kegusaran dan suasana panik dalam masyarakat.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan Covid-19 boleh dirujuk kepada Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dengan menghubungi talian 019-4053711.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 5:29 PM