GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 391 banduan, tahanan dan 10 kakitangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Benteng LD di dua daerah itu, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 5,402 individu disaring dalam Kluster Benteng LD dan 17 kes baharu dikesan positif Covid-19, hari ini.

"Seramai 1,412 individu disaring di Lahad Datu dan daripada jumlah itu, 89 kes dikesan positif, 907 negatif dan 425 individu masih menunggu keputusan.

"Selain itu, di Tawau pula seramai 3,981 individu disaring dan 331 kes dikesan positif, 915 negatif dan 2,735 masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan kes positif kluster itu membabitkan 391 banduan dan tahanan, 10 kes kakitangan di IPD Lahad Datu dan Penjara Tawau serta sembilan ahli keluarga mereka.

Beliau bekata, seramai 881 pegawai agensi kerajaan lain disaring dan tiada dikesan positif manakala 1,387 kontak sosial apabila 10 dikesan positif.

"Daripada jumlah 420 kes positif Covid-19, 185 membabitkan warganegara Malaysia manakala 235 adalah warga asing iaitu Filipina (153 kes) dan Indonesia (82 kes)," katanya.

Sementara itu, memperincikan mengenai Kluster Bunga di Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata, seramai 59 individu disaring dalam kluster itu iaitu empat kes baharu dilaporkan melalui persampelan kedua bagi sejumlah 22 kru kapal yang masih berada dalam kapal berlabuh di Port Dickson.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster ini adalah 10 kes iaitu empat di Selangor, enam di Negeri Sembilan dan tiada positif di Terengganu.

"Daripada jumlah saringan dalam kluster ini, 45 adalah warganegara Malaysia manakala 14 warga asing iaitu enam India, Filipina (6), Singapura (1) dan Ghana (1)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 16,775 individu disaring dan satu kes baharu dikesan positif membabitkan Kluster Sungai di Kedah.

Beliau berkata, jumlah itu, 57 kes dikesan positif di Kedah manakala 2,731 masih menunggu keputusan manakala di semua negatif di Pulau Pinang dan satu kes postitif di Perlis.

"Susulan peningkatan ketara kes dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dilaksanakan di Kota Setar, Kedah dan kawasan penjara dan kuarters Penjara di Tawau.

"PKPD dilanjutkan di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah bagi Zon Melor berikutan keperluan saringan ulangan. Beberapa kawasan berisiko tinggi dalam daerah Kota Setar dikenalpasti dan saringan masih giat dijalankan kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, proses saringan berjalan lancar dan kerjasama penduduk setempat adalah baik dan memohon kerjasama semua penduduk untuk terus kekal berada di rumah dan hanya keluar untuk urusan perlu sahaja.

Menurutnya, penduduk dinasihatkan tidak meninggalkan kawasan diumumkan sebagai PKPD secara pentadbiran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:00 PM