GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 247 penghuni rumah flat Tongkang Yard, Seberang Perak, di sini selesai menjalani saringan Covid-19 bagi Kluster Sungai semalam dan dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ujian saringan secara menyeluruh terpaksa dilakukan kepada penduduk flat itu selepas sembilan penghuninya disahkan positif Covid-19.

"Saringan pertama dilakukan pada 19 September lalu diikuti semalam dan hari ini, kesemua mereka menjalani saringan di pekarangan flat berkenaan oleh petugas kesihatan.

"Keputusan saringan akan diperoleh dalam tempoh 72 jam selepas ujian dibuat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas (Covid-19) Keselamatan Negeri di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar di sini, hari ini.

Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya pada awalnya dimaklumkan lebih ramai penghuni yang perlu disaring, namun pemeriksaan mendapati ada banyak rumah di situ kosong.

Katanya, sehingga kini hampir 20,000 penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Kota Setar sudah menjalani saringan Covid-19.

Ketika ditanya sama ada kawasan lain yang akan dikenakan ujian saringan secara menyeluruh, beliau memberitahu pelaksanaan itu bergantung kepada jumlah kes positif dilaporkan di sesuatu kawasan.

"Jika kes positif di satu kawasan itu meningkat secara mendadak, kita akan laksanakan saringan menyeluruh seperti yang berlaku di flat Tongkang Yard," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fikri memberitahu stok peralatan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan petugas kesihatan di negeri ini mencukupi untuk kegunaan dalam tempoh tiga bulan lagi.

Namun pihaknya tetap mengalu-alukan sumbangan PPE daripada mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 7:19 PM