MOHD Taib (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Rupeah sambil diperhatikan, Ayob Khan di IPD Johor Bahru Utara,  Johor Bahru.  FOTO Zain Ahmed
MOHD Taib (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Rupeah sambil diperhatikan, Ayob Khan di IPD Johor Bahru Utara, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Omar Ahmad

Johor Bahru: Juruiring Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Johor Bahru Utara (JBU).

Rupeah, 57, yang berasal dari Batu Pahat adalah pegawai polis wanita pertama di Johor yang menjawat jawatan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi kepercayaan kepada Rupeah menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah dengan pengalaman dimiliki wanita itu.

"Kalau kita lihat kebanyakan pengarah agensi perisikan seperti CIA (Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat), kebanyakannya wanita.

"Kelebihan yang ada pada wanita, mereka ini teliti," kata beliau selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan KPD JBU di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini, hari ini.

Sementara itu, Rupeah berkata, dia mahu menumpukan keselamatan masyarakat di sekitar kawasan bandar raya ini dalam menggalas tugas baharunya itu.

"Selain menjaga keselamatan rakyat, saya akan patuh dan setia kepada Ketua Polis Johor dan ikut setiap arahan yang diberikan," katanya yang sudah 39 tahun berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 4:15 PM