Muhammad Suffi (tengah) bersama peserta selepas menjalani Latihan menembak senjata api kecil di Lapang Sasar Pusat Latihan RELA Wilayah Timur Kampung Kemat. FOTO Ghazali Kori
Muhammad Suffi (tengah) bersama peserta selepas menjalani Latihan menembak senjata api kecil di Lapang Sasar Pusat Latihan RELA Wilayah Timur Kampung Kemat. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang perairan negeri ini bagi menahan nelayan Vietnam yang melakukan pencerobohan pada musim tengkujuh dijangka bermula akhir Oktober ini.

Pengarahnya, Kapten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, seramai 35 anggota akan menjalankan operasi dan pemantauan secara berkala di sepanjang perairan dari Kemaman hingga ke Besut.

Katanya, pihaknya juga akan meningkat operasi di kawasan berhampiran pulau bagi memastikan tidak ada bot nelayan Vietnam berlindung di kawasan berkenaan.

"Pemerhatian kita sebelum ini mendapati nelayan Vietnam yang menjadikan kawasan pulau sebagai tempat berlindung daripada laut bergelora dan ombak kuat ketika menceroboh perairan negeri ini pada musim tengkujuh.

"Antara pulau popular yang dijadikan sebagai tempat berlindung pada musim tengkujuh ialah Pulau Redang di Kuala Nerus, Tenggol di Dungun dan Perhentian di Besut," katanya ketika ditemui selepas program Latihan Menembak Senjata Kecil APMM Terengganu di Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia di Kuala Berang, di sini, semalam.

Muhammad Suffi berkata, APMM akan mengambil tindakan tegas menahan bot nelayan Vietnam yang didapati masih memasuki perairan Terengganu pada musim tengkujuh.

Menurutnya, kebenaran untuk berlindung di perairan negara masih boleh dipertimbangkan sekiranya bot nelayan terbabit membuat permohonan rasmi kepada Wisma Putra menerusi Pejabat Kedutaan Vietnam.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, Kementerian Luar Negeri memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Suffi menasihatkan nelayan, pemancing dan pengusaha bot pelancong yang turun ke laut ketika musim tengkujuh supaya berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan.

Katanya, setiap bot hendaklah dilengkapi dengan alat pengesan bot bagi memudahkan pihaknya mengesan kedudukan bot menerusi sistem satelit sekiranya berlaku kecemasan.

"Sekiranya berlaku kecemasan, mereka hanya perlu menekan butang pada alat tersebut, bantuan akan dihantar dengan segera oleh APMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 7:56 PM