HASAN BASRI YAHYA
HASAN BASRI YAHYA
Amir Mamat


Melaka: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin kononnya anggota polis mengarahkan logo jata negeri yang dipasang di kenderaannya ditanggalkan.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan supaya wakil rakyat DAP berkenaan menanggalkan papan berlogo berkenaan.

Namun katanya, Seah disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya kerana tidak memandu di lorong yang betul.

"Menurutnya, anggota hanya mahu mendapatkan pengesahan mengenai status sebenar dirinya, sama seperti dilakukan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

"Kita tidak pernah melarang penggunaan logo kata negeri atau pingat kerana ia bukan satu kesalahan trafik. Semua pegawai dan anggota trafik sangat arif berkenaan peraturan ini.

"Apa yang sebenarnya berlaku, pegawai trafik dalam operasi itu cuma mendapatkan pengesahan daripada beliau status sebenar dirinya. Selepas beliau mengesahkan dirinya ADUN Kesidang, pegawai trafik terbabit memaklumkan kesalahan yang beliau lakukan dan saman dikeluarkan. Ia menyebabkan beliau seolah-olah tidak berpuas hati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasan Basri berkata, operasi pelbagai yang dijalankan pada 2 September lalu adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan bahawa tindakan tegas (total enforcement) perlu diambil terhadap semua pesalah trafik tanpa mengira pangkat atau status.

Katanya, dalam menegakkan undang-undang, JSPT negeri sentiasa bersikap tegas dan adil dengan ramai anggota polis serta kakitangan awam tidak terlepas daripada dikenakan saman sebagai pengajaran kepada mereka.

"Kami menyarankan supaya YB Kesidang turun padang bersama-sama membantu memberi nasihat kepada pengguna jalan raya terutama di kawasan beliau, sekali gus menjadi contoh yang baik dalam mematuhi undang-undang dan menyokong tindakan tegas kami ini," katanya.

Kelmarin, Seah mendakwa polis mengarahkannya menanggalkan papan berlogo jata negeri yang dipasang di kenderaannya ketika melalui satu sekatan jalan raya di Krubong, di sini baru-baru ini.

Seah mendakwa, ketika kenderaannya berhenti di sekatan jalan raya berkenaan, seorang anggota polis bertanya mengenai pemasangan papan berlogo yang tertera perkataan ADUN Melaka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 9:02 PM