LEONG Hui Ying. FOTO Bernama
LEONG Hui Ying. FOTO Bernama
Nuraliawati Sabri


Melaka: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying, menafikan beliau tidak fasih berbahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak salah faham dengan video pendek berdurasi 58 saat yang tular di media sosial, menunjukkan dia 'terpinga-pinga' dan tidak dapat menjawab soalan ketika ditemubual oleh wartawan.

Wakil daripada parti MCA berusia 29 tahun itu berkata, beliau boleh berbahasa Melayu, namun ketika kejadian terdapat sedikit masalah sehingga perkara berkenaan timbul.

"Semalam, terdapat satu video yang tular di media sosial cakap saya tidak faham bahasa Melayu.

"Sebenarnya, saya faham (bahasa Melayu) mungkin ada sedikit masalah sehingga timbul video seperti ini. Jadi saya berharap, masyarakat di Kesidang, terutama pengundi tidak salah faham mengenainya dan berikan sokongan kepada saya," katanya menerusi satu video pendek.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro menghubungi Leong bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Leong berdepan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Patrick Ng Chin Kae dan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi DUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:39 PM