KEADAAN paras air di Empangan Durian Tunggal, Melaka. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
KEADAAN paras air di Empangan Durian Tunggal, Melaka. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
Rizanizam Abdul Hamid


SYARIKAT Air Melaka Berhad (SAMB) perlu lebih peka dalam usaha memberi hebahan kepada rakyat berhubung masalah bekalan air di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin berkata, syarikat itu tidak sepatutnya mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sehingga sesuatu isu itu tular untuk memberi tindak balas.

“Seperti dakwaan kolam tadahan air hujan di Durian Tunggal yang kering semalam, ia tular di media sosial menyebabkan orang ramai panik.

“Sepatutnya, SAMB perlu peka dengan memberi hebahan tepat sebelum tular di media sosial.

“Kelewatan bertindak bukan sahaja membimbangkan rakyat, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Melaka, hari ini.

Semalam, media sosial tular dengan isu berhubung takungan air di Empangan Durian Tunggal kering sehingga menimbulkan pertikaian warga net mengenai tindakan kerajaan mengatasinya.

“Isu ditularkan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan lebih buruk apabila mereka menyalahkan kerajaan negeri.

“Pihak saya sendiri menerima banyak panggilan telefon daripada rakyat yang meminta penjelasan dan kesahihan penularan itu termasuk langkah mengatasinya,” tambahnya.

Jelas beliau, medium hebahan digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat juga haruslah menggunakan saluran betul selain meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:47 PM