Nurul Fhatihah Zakinan

SEKUMPULAN posmen memakai uniform berbeza menjadi tumpuan pada program Kayuhan Nostalgia Basikal Tua Melaka yang dianjurkan sempena Hari Malaysia 2018 di Menara Taming Sari, Bandar Hilir, Melaka, hari ini.

Kumpulan sembilan lelaki itu antara 300 peserta berbasikal klasik tempatan dan luar negara, yang mengambil bahagian pada program terbabit.

Kehadiran sembilan posmen itu dengan keunikan dan nilai artistik yang dibawa menyorot kembali evolusi kerjaya posmen dalam proses penghantaran surat dari zaman telegram hingga kini yang menggunakan teknologi canggih di hujung jari seperti e-mel.

Peserta, Mohd Zaazli Jamaluddin, 33, berkata, dia ke program itu menggunakan uniform ala posmen separa lengkap bersama basikal klasiknya dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Katanya, selepas mengetahui program itu di laman Facebook, dia berusaha mendapatkan pelbagai koleksi uniform posmen era 80-an seperti lencana, semata-mata mahu menyertainya sebagai tanda sokongan.

“Saya menjadi pengumpul basikal klasik sejak lima tahun lalu. Basikal posmen jenis ‘Raleigh’ ini antara koleksi yang ada selain “Sport’ dan ‘Gentleman’ dari 60-an.

“Kadangkala, saya merayau-rayau mencari alat ganti basikal klasik di kampung atau membeli atas talian seperti lencana lama posmen kerana bagi saya ia barangan sangat bernilai,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai posmen di Batu Kikir, Negeri Sembilan itu turut menerima sokongan isteri, Zaifulmiza Zulkafli, 33, bagi meneruskan hobinya.

Terdahulu, perasmian dan pelepasan program kayuhan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin, diiringi penganjur program, Ashaari Mohd Nasir.

Sementara itu, Ashaari berkata, program anjuran Persatuan Basikal Tua Melaka dan Kelab Sepeda Klasik berkenaan disertai peserta termasuk dari Indonesia bertemakan perpaduan, kemerdekaan dan sejarah zaman 90-an.

“Penganjuran ini diadakan kali kedua selepas enam tahun lalu. Peserta menunjukkan sokongan dengan memakai pakaian lama secara tidak langsung mengimbau kembali nostalgia kehidupan lampau.

“Ada antara mereka membawa basikal sendiri dan dari persatuan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 4:37 PM