KEADAAN sekitar Stesen Masjid Jamek, Kuala Lumpur dinaiki air akibat hujan lebat, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
KEADAAN sekitar Stesen Masjid Jamek, Kuala Lumpur dinaiki air akibat hujan lebat, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Saya hanya mampu duduk di kerusi dengan separuh badan berendam dalam banjir di rumah sementara menunggu bantuan pihak bomba," kata penduduk Kampung Sungai Periuk, Norisah Abu Bakar Sidek, 67.

Norisah berkata, ketika kejadian, hanya dia bersama anak perempuannya menjaganya yang terlantar akibat sakit kaki berada di rumah berkenaan.

"Melihat hujan lebat, saya ada minta anak mengemas barang sebagai persiapan banjir. Namun tidak lama kemudian, air naik secara mendadak hingga mencecah lebih satu meter di dalam rumah.

"Pihak bomba yang membuat pemeriksaan kemudian mengarahkan kami keluar dari rumah dan mereka terpaksa mengusung saya menggunakan kerusi sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan dengan bot," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Beliau yang juga pesara tentera berkata, kejadian banjir itu antara yang paling buruk pernah dialaminya sejak 67 tahun menetap di kampung berkenaan.

"Kali terakhir banjir seburuk ini pada 2004 iaitu hampir mencecah bumbung rumah kami. Setiap kali hujan lebat berterusan, saya pasti bimbang kerana khuatir memikirkan keadaan rumah semakin usang akibat kerosakan pada papan yang buruk kerana terkena air.

"Justeru, saya harap pihak berkuasa boleh membantu penduduk yang mengalami banyak kerosakan rumah serta barang selain menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku," katanya yang memaklumkan banjir berkenaan adalah kali ketiga berlaku pada tahun ini.

Seorang lagi penduduk Kampung Sungai Periuk, Taiba Jhad, 40, berkata, dia terkejut terdengar jeritan anaknya memaklumkan air naik secara mendadak kira-kira jam 4 petang, semalam.

"Ketika itu, anak dan rakannya sedang bermain di luar rumah sebelum dia menjerit memaklumkan air sudah banyak masuk ke dalam (rumah). Hanya tempoh beberapa minit sahaja, air sudah sampai hingga ke paras pinggang.

"Saya terus membawa mereka keluar rumah dan pergi ke dewan berhampiran untuk menyelamatkan diri. Sepanjang tempoh lebih enam tahun saya menyewa rumah itu, ini adalah banjir paling buruk kami sekeluarga alami," katanya.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Alam Flora menjalankan kerja pembersihan pasca banjir di beberapa lokasi sekitar pusat bandar yang terkesan akibat banjir semalam.

DBKL dalam kenyataan, memaklumkan kerja pembersihan dilakukan sebaik sahaja air surut jam 9 malam tadi dan dijangka selesai pada petang ini.

"Antara lokasi yang terbabit dengan kerja pembersihan ini adalah Jalan Munsyi Abdullah; Jalan Dang Wangi; Jalan Melaka, Jalan Leboh Ampang; Jalan Melayu; Jalan Rahmat; Jalan Raja Mahadi; Jalan Tun HS Lee; Jalan Hang Lekiu dan Kampung Periuk.

"Selain banjir, pihak DBKL juga menerima lebih 10 aduan pokok tumbang di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Gombak," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan hujan lebat lebih dua jam bermula 2 petang semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas termasuk Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5, Jalan San Ah Wing dan Kampung Semarak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 7:24 PM