FOTO fail menunjukkan banjir di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur, berikutan hujan lebat, petang semalam. FOTO Hazreen Mohamad
FOTO fail menunjukkan banjir di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur, berikutan hujan lebat, petang semalam. FOTO Hazreen Mohamad
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hujan lebat petang semalam menyebabkan 29 lokasi sekitar ibu kota dinaiki air.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, banjir di 25 kawasan bagaimanapun surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit.

Menurutnya, banjir di empat lagi kawasan pula surut dalam tempoh satu hingga tiga jam.

"Dua pusat pemindahan sementara (PPS) juga di buka masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswati yang membabitkan 560 orang daripada 145 keluarga.

"Di Dewan Sultan Sulaiman pula, ia membabitkan mangsa banjir di Kampung Periuk, seramai 128 orang," katanya dalam kenyataan media.

Katanya, tiga insiden tanah runtuh dilapor masing-masing di Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama; Seksyen 6, Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah meninjau ke kawasan yang terbabit dan kerja susulan akan dilakukan dalam kadar segera.

"DBKL menghantar kakitangan daripada pelbagai jabatan dalaman bersama agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Alam Flora, Majlis Perwakilan Penduduk dan badan bukan kerajaan untuk turun ke lapangan bagi memberi bantuan awal, melancarkan trafik dan melakukan kerja pembersihan.

"Sebanyak tujuh trak tunda dihantar untuk mengalihkan kenderaan yang terkandas akibat banjir sekitar ibu kota," katanya.

Banjir kilat berlaku apabila hujan lebat dalam tempoh dua jam dengan bacaan melebihi 206 milimeter direkodkan di ibu kota, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 8:50 AM