AINEDNNA (kiri) memangku anaknya, Janevey Audry dan Norhidayu bersama suami, Amir Kambali 29, memangku Muhammad Rais Shaqib yang mengalami masalah jantung berlubang ketika rayuan bantuan Tabung Kemanusiaan Media Prima - NSTP di Hospital Gleneagles, Ampang. FOTO Aizuddin Saad
AINEDNNA (kiri) memangku anaknya, Janevey Audry dan Norhidayu bersama suami, Amir Kambali 29, memangku Muhammad Rais Shaqib yang mengalami masalah jantung berlubang ketika rayuan bantuan Tabung Kemanusiaan Media Prima - NSTP di Hospital Gleneagles, Ampang. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dua keluarga dari Johor dan Sabah masing-masing memerlukan dana RM70,000 dan RM50,000 untuk menampung kos pembedahan jantung berlubang serta injap jantung terbalik yang dihidapi anak mereka sejak lahir.

Muhammad Rais Shaqib Amir, 3, dari Batu Pahat kini berada di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur dikesan menghidap penyakit transposition great arteries (TGA) atau injap jantung terbalik.

Ibunya, Norhidayu Mohd Rehat, 29, berkata, anak keduanya itu dikesan menghidap TGA dan masalah 'Pulmonary Atresia' selepas saluran Ventricular Septal Defect (VSD) pada bahagian injap jantung menjadi sempit dan gagal berfungsi dengan sempurna.

"Rais dikesan mengalami masalah jantung selepas dua bulan dilahirkan apabila kuku dan tangannya mengalami kebiruan.

"Saya kemudian membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar sebelum doktor mengesahkan Rais mengalami masalah jantung, hasil imbasan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor mendapati injap jantung terbalik dan saluran VSD sempit," katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, hari ini.

Katanya, anaknya sudah melalui dua pembedahan sebelum ini ketika berusia tiga bulan dan setahun.

"Mungkin ini pembedahan terakhir anak untuk membetulkan kembali injap jantungnya dan kami memang memerlukan bantuan orang ramai berikutan kosnya sangat tinggi iaitu RM70,000.

"Saya hanya bekerja sebagai operator kilang di Muar dengan gaji RM2,000 manakala suami, Amir Kambali, 29, pula pemandu lori dengan pendapatan RM1,800. Kami juga mempunyai seorang lagi anak berusia lima tahun," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bayi perempuan, Janevey Audry Jaibi berusia setahun dari Keningau memerlukan dana RM50,000 daripada orang ramai selepas dikesan mempunyai masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) selepas dilahirkan.

Ibunya, Ainednna Jeno, 26, berkata, terdapat satu lubang pada jantung anak bongsu daripada empat beradik itu yang perlu ditampal.

"Akibatnya anak saya sukar bernafas dan kerap sakit. Sejak dilahirkan, Janevey kurang aktif dan kerap dirujuk ke hospital.

"Doktor ada beritahu pembedahan menampal lubang terbabit perlu disegerakan kerana dalam usia Janevey yang masih bayi mudah terdedah dengan jangkitan kuman," katanya.

Ainednna yang juga suri rumah berkata, akibat komplikasi itu, anaknya kerap demam dan sakit memerlukannya kerap berulang ke hospital.

"Saya berharap pembedahan dapat dilakukan segera supaya Janevey cepat sembuh dan membesar secara normal seperti kanak-kanak lain," katanya.

Menurutnya, dengan gaji RM500 sebulan daripada pendapatan suaminya, Jaibi J Tunggigi, 36, sebagai petani, manakala dia yang tidak bekerja serta dua anak masih bersekolah, dia tidak mampu membiayai kos rawatan anak bongsunya itu.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 5:21 PM