Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


KELUARGA bayi lelaki dari Kuala Krai, Kelantan memerlukan dana RM80,000 untuk menampung kos pembedahan jantung berlubang dan saluran darah sempit yang dihidapinya sejak lahir.

Muhammad Faiq Mohd Azhar berusia 33 hari kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, dan dikesan menghidap masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) dan saluran darah sempit (Coarctation of the aorta) selepas lapan hari dilahirkan.

Bapanya, Mohd Azhar Yusoff, 43, berkata, terdapat satu lubang pada jantung anak keenam itu yang perlu ditampal.

“Akibatnya anak saya sukar bernafas dan tidak boleh tidur malam. Sejak dilahirkan, Muhammad Faiq terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai sejak dimasukkan ke ICU pada 15 Januari lalu.

“Doktor ada beritahu pembedahan menampal lubang terbabit perlu disegerakan kerana dalam usia Muhammad Faiq yang masih bayi mudah terdedah dengan jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Azhar yang bekerja sebagai jurukimpal berkata, akibat komplikasi itu, Muhammad Faiq bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan dan jika tidak, mukanya akan kebiruan.

“Saya dan isteri amat berharap pembedahan dapat dilakukan segera agar Muhammad Faiq cepat sembuh dan membesar secara normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurutnya, dengan gaji RM1,200 sebulan manakala isteri yang tidak bekerja serta empat anak masih bersekolah, dia tidak mampu membiayai kos rawatan anak bongsunya itu.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 4:41 PM
MUHAMMAD Faiq Mohd Azhar, 24 hari, yang mengalami penyakit jantung berlubang sekarang dirawat di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Mustafa Kamal
MUHAMMAD Faiq Mohd Azhar, 24 hari, yang mengalami penyakit jantung berlubang sekarang dirawat di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Mustafa Kamal