Mohd Roji Kawi


Petra Jaya: Mahkamah Majistret Kuching hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman dua hari terhadap dua pengarah syarikat bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu projek menaik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.

Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Zubaidah Sharkawi selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dua pengarah berusia 44 tahun itu yang juga rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat dikesan memonopoli pelaksanaan 10 projek jalan di pedalaman Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga yang dikenali sebagai 'Projek Jiwa Murni' di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.

Mereka ditahan dalam satu operasi khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di Kuching, Selasa lalu dan direman dua hari mulai Rabu lalu.

Penahanan mereka dibuat selepas banyak aduan diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua pengarah itu diwakili peguam Shankar Ram, Albert Tan Yew Liong, Lim Heng Choo dan Alan Lau manakala SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, S Thangavelu.

Sementara itu, semalam seorang peguam yang ditahan SPRM pada petang Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes sama, dibebaskan tanpa syarat oleh Mahkamah Majistret Kuching.

Pembebasan itu dibuat selepas SPRM tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mengaitkannya dengan kes itu ketika memohon perintah reman tujuh hari terhadap peguam terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 1:53 PM