DUA pengarah syarikat bergelar Datuk direman dua hari bagi siasatan tuntutan palsu terhadap projek membina jalan raya di Sarawak bernilai lebih RM800 juta. FOTO Mohd Roji Kawi
DUA pengarah syarikat bergelar Datuk direman dua hari bagi siasatan tuntutan palsu terhadap projek membina jalan raya di Sarawak bernilai lebih RM800 juta. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Petra Jaya: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan dua pengarah syarikat bergelar Datuk direman dua hari bagi melengkapkan siasatan berhubung tuntutan palsu projek menaik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.

Majistret Zubaidah Sharkawi mengeluarkan perintah itu selepas menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S Thangavelu.

Dua pengarah berusia 44 tahun itu diwakili peguam Shankar Ram, Albert Tan Yew Liong, Lim Heng Choo dan Alan Lau.

Terdahulu, Thangavelu memohon tahanan reman selama tujuh hari untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, bagaimanapun Zubaidah memberikan kebenaran hanya selama dua hari.

Difahamkan, dua pengarah itu yang juga rakan kongsi memiliki tiga syarikat dikesan memonopoli pelaksanaan 10 projek jalan di pedalaman Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM800 juta.

Ia membabitkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Miri, Kapit, Ba'kelalan, Limbang dan Belaga yang dikenali sebagai 'Projek Jiwa Murni' di bawah kementerian berkenaan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu sejak tahun 2010 hingga 2016.

Mereka ditahan dalam satu operasi khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Penahanan mereka dibuat selepas banyak aduan diterima daripada masyarakat setempat mengenai keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.

Berita berkaitan

Makan besar RM800 juta

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 12:45 PM