KLUSTER Tawar 68 kes dikesan positif Covid-19. FOTO Arkib NSTP
KLUSTER Tawar 68 kes dikesan positif Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan terdapat pertambahan kes Covid-19 bagi empat kluster membabitkan Kluster Sungai, Kluster Telaga, Kluster Tawar dan Kluster Benteng LD, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi Kluster Sungai, sebanyak 1,091 saringan dilakukan secara keseluruhan dengan Kedah seramai 1,056 orang disaring, 38 kes positif Covid-19 (13 kes baharu), 432 individu negatif dan 586 individu masih menunggu keputusan.

Menurutnya, di Pulau Pinang pula, 31 kes disaring, seorang individu negatif, 30 individu masih menunggu keputusan manakala di Perlis empat orang disaring, satu kes dikesan positif Covid-19 dan tiga individu masih menunggu keputusan.

"Bagi Kluster Telaga (jumlah saringan 4,584) di mana di Kedah 4,537 orang disaring, 11 kes dikesan positif Covid-19 (1 kes baharu), 4,399 individu negatif dan 127 individu masih menunggu keputusan.

"Di Pulau Pinang 47 orang disaring, 46 individu negatif dan satu individu masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Tawar, jumlah saringan 18,233 di mana di Kedah 17,659 individu disaring, 68 kes dikesan positif Covid-19 (satu kes baharu) dan 17,591 individu negatif.

"Di Pulau Pinang 563 orang disaring, 11 kes dikesan positif Covid-19 dan 552 individu negatif manakala di Perak kesemua 11 saringan adalah negatif.

"Bagi Kluster Benteng LD, Sabah, jumlah saringan 2,349 iaitu Tawau 1,814 orang disaring, 43 kes dikesan positif Covid-19 (dua kes baharu), 625 individu negatif dan 1,146 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, bagi Kluster Benteng LD di Lahad Datu, 535 orang disaring, 87 kes dikesan positif Covid-19, 287 individu negatif dan 161 individu masih menunggu keputusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:21 PM