MOHAMMAD Hafiz pada sidang media selepas Operasi Fancy JPJ Selangor. FOTO Bernama
MOHAMMAD Hafiz pada sidang media selepas Operasi Fancy JPJ Selangor. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila meraih RM1.6 juta kutipan saman menerusi tawaran pengurangan saman sehingga 70 peratus yang bermula sejak 1 hingga 30 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Mohamad Hafiz Usman berkata, sepanjang tempoh itu, seramai 6,356 individu hadir di pejabat agensi terbabit di seluruh negeri ini bagi menikmati pengurangan bayaran saman terbabit.

"Antara bayaran (saman) tertinggi yang kami terima adalah daripada sebuah syarikat pengangkutan sisa pepejal membabitkan jumlah saman lampau kira-kira RM500,000.

"Dalam tempoh itu juga, sebanyak 21,476 notis saman dan saman semula dikeluarkan," katanya pada sidang media ketika mengetuai Operasi Fancy (Op Fancy) di Plaza Tol Batu 9, di sini, malam tadi.

Mohamad Hafiz berkata, sambutan menggalakkan diterima daripada orang ramai itu menjadikan JPJ Selangor antara cawangan negeri yang menerima kutipan tertinggi di seluruh negara.

"Memandangkan tawaran itu dilanjutkan sehingga 30 September ini, kami menjangkakan sambutan itu akan terus hangat hingga hujung bulan nanti.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan tunggakan saman mereka dengan segera bagi mengelakkan kesesakan di kaunter apabila melakukan urusan terbabit pada saat akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 12:10 AM