Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Gurun: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengesan terdapat individu warga tempatan yang dipercayai mengaut keuntungan dengan sanggup menyewa kenderaan mereka kepada warga asing.

Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara tempatan yang dikesan melakukan perbuatan itu sekiranya ditahan malah akan mengenakan kompaun terhadap mereka.

Beliau berkata, kompaun awal boleh dikenakan antara RM100 hingga RM250 untuk motosikal manakala RM150 hingga RM300 untuk kenderaan lebih 250 cc.

"Untuk pemandu warga asing (PeWa), mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala warga tempatan yang juga pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing juga boleh dikenakan seksyen sama.

"Alasan yang sering diberi warga asing ketika ditahan JPJ, mereka beritahu menunggang motosikal dan memandu kenderaan disebabkan urusan kerja.

"Dan kita dapati, paling banyak kes membabitkan sewaan motosikal oleh warga tempatan kepada warga asing ," katanya pada sidang media di Kawasan Rehat dan Rawat Gurun, malam tadi.

Aman Shah berkata, bermula sejak 1 November lalu, pihaknya melakukan operasi Ops Patuh Bersepadu 2023 bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain.

Beliau berkata, sasaran operasi itu adalah terhadap PeWa, operasi perkhidmatan barangan (PKB) dan perkhidmatan awam, operasi lebuhraya dan Ops Teknikal (Puspakom).

"Tujuannya adalah untuk memaksimumkan pematuhan piawaian standard teknikal atau teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan oleh motosikal, pemandu kenderaan awam barangan bagi mengurangkan kematian nahas jalan raya serta membudayakan pematuhan undang-undang.

"Dalam operasi semalam hingga malam tadi, kekuatan yang digunakan adalah seramai 130 orang dari pelbagai agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PDRM, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

"Sebanyak 780 kenderaan diperiksa selain 112 kenderaan diambil tindakan

membabitkan 138 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi malam tadi, seramai tiga individu ditahan AADK kerana didapati positif dadah jenis methapetamine," katanya.

Aman Shah berkata, sepanjang bulan ini, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 17,227 kenderaan yang mana membabitkan pecahan iaitu 2,227 kenderaan, awam (961).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 8:43 AM