PRESIDEN Parti Putra Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali (tiga dari kanan) bersama peguam, Mohd Khairul Azam (tiga dari kiri) memfailkan saman berkenaan isu air di Selangor di Mahkamah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
PRESIDEN Parti Putra Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali (tiga dari kanan) bersama peguam, Mohd Khairul Azam (tiga dari kiri) memfailkan saman berkenaan isu air di Selangor di Mahkamah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seramai 17 individu memfailkan tuntutan saman terhadap syarikat selenggara mesin dan jentera yang menjadi punca pencemaran Sungai Gong, Rawang di Mahkamah Shah Alam di sini, tadi.

Kesemua plaintif yang diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menfailkan saman secara individu terhadap empat pengurus syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd.

Mohd Khairul Azam berkata, saman berkenaan difailkan secara 'e-failing' pada jam 1.52 petang semalam dan dibuat bagi menuntut ganti rugi selepas mengambil kira pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi plaintif sepanjang gangguan bekalan air.

"Berdasarkan kesemua peristiwa yang sudah diperincikan dalam siaran media yang dikeluarkan oleh Air Selangor Sdn Bhd, syarikat berkenaan dikenal pasti terbabit dalam kerosakan dan kecelakaan yang menyusahkan ramai pihak.

"Defendan adalah dengan jelas, nyata dan terang adalah pihak yang bertanggungjawab secara langsung terhadap semua kerosakan atau kecelakaan berkenaan.

"Ini secara jelas dikenal pasti merujuk kepada siaran media bertarikh 3 September (Khamis) jam 7 malam apabila melalui siasatan dilakukan dan kenyataan media yang dibuat Lembags Urus Air Selangor (LUAS) yang mana insiden pencemaran itu disyaki berpunca daripada sebuah premis perindustrian di Sungai Gong yang melakukan pelepasan cecair berbau seakan pelarut ke dalam sungai," katanya di lobi Mahkamah Shah Alam di sini.

Hadir sama, plantif pertama Datuk Ibrahim Ali yang juga Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersama penyokong.

Mohd Khairul Azam berkata, menerusi saman berkenaan, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi spesifik, ganti rugi teladan dan kos-kos lain yang dianggarkan wajar oleh mahkamah.

Katanya, Air Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan kilang berkenaan adalah punca pencemaran bau yang memaksa empat Loji Rawatan Air (LRA) henti tugas.

Terdahulu pada Khamis, empat LRA dihenti tugas susulan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Akibat pencemaran itu, tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,292 kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:08 PM