Iskandar Shah Mohamed


EMPAT Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas selepas pencemaran minyak diesel dari sumber air mentah Sungai Selangor dikesan di muka sauk semua loji itu, hari ini.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang itu terpaksa kembali dihenti tugas bermula 6 petang hingga 8.15 malam tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sudah melaporkan insiden pencemaran itu kepada pihak berkuasa dan mendapati ia berpunca aktiviti pengorekan pasir di hulu sungai.

“Ia insiden kedua dalam tempoh tiga hari membabitkan penutupan keempat-empat loji utama itu dan turut menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan

“Kami mengesan pencemaran minyak diesel di muka sauk semua LRA itu dari sumber air mentah Sungai Selangor.

“Berikutan pencemaran itu, semua LRA berkenaan terpaksa dihenti tugas masing-masing bermula antara jam 6 petang hingga 8.15 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Abdul Raof, pihaknya tidak dapat memastikan tempoh pemulihan sekiranya insiden pencemaran sumber air mentah kembali berulang.

“Kami kini dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden seperti yang berlaku hari ini.

“Pelanggan boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, laman sesawang www.syabas.com.my dan facebook Air Selangor atau Twitter @air_selangor bagi mendapatkan maklumat dan status terkini yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:12 PM