GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dijangka akan diselesaikan, esok.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata perbincangan agihan kerusi itu membabitkan AMANAH, PKR dan DAP Johor, dahulu.

Katanya, ia kemudian akan disusuli perbincangan agihan kerusi parti menyertai gabungan PH Johor, membabitkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

"Kekosongan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) gabungan PH Johor yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 ) lalu menjadi isu utama yang perlu diselesaikan.

"Pada PRU-14 lalu, BERSATU bertanding 18 kerusi DUN Johor dan menang lapan kerusi. AMANAH bertanding 12 kerusi dan menang sembilan kerusi manakala PKR bertanding 12 kerusi dan menang lima kerusi.

"Formula PH Johor mudah sahaja, kekalkan parti yang menang pada PRU-14 di kerusi yang akan ditandingi pada PRN kali ini dengan syarat letakkan calon yang boleh menang. Tetapi untuk 18 kerusi ditinggalkan BERSATU ini, ia perlu diselesaikan secara muafakat dalam PH Johor.

"AMANAH, PKR dan DAP sedang adakan mesyuarat dengan perundingan antara parti sedang berjalan. Kita jangkakan esok akan selesai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, pembabitan MUDA, PEJUANG dan WARISAN penting pada PRN Johor kali ini.

"Ia bukan sahaja memberi dinamik bebeza dalam gabungan PH Johor malah mampu dijangka mampu memberi saingan terhadap pakatan lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Parti pembangkang kena jadi blok yang kuat, tidak semestinya semua perlu jadi komponen PH, tetapi pembangkang perlu bekerjasama supaya tidak berlaku pertembungan yang akhirnya merugikan pembangkang.

"Oleh itu, PH Johor akan berbincang dan memperhalusi kerusi yang akan diberikan kepada MUDA, PEJUANG dan WARISAN.

"PH Johor juga dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi mengumumkan kerjasama yang berlaku di kalangan pembangkang untuk hadapi PRN Johor nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 12:55 PM