DR NORAINI AHMAD
DR NORAINI AHMAD
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menerima peruntukan RM100 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) akan memberi fokus dalam menangani isu graduan menganggur.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, antara fokus utama dalam pelaksanaan program di bawah Penjana adalah melalui 'Place and Train' selain tumpuan kepada sektor ekonomi gig serta keusahawanan.

Menurutnya, KPT juga menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain serta pihak industri dalam menangani masalah pengangguran selain memastikan kebolehpasaran graduan.

"Apa yang penting melalui Penjana, KPT berkolaborasi bersama pihak industri yang memberikan komitmen untuk mengambil graduan bekerja.

"Antara pendekatan dan penambahbaikan yang dilaksanakan ialah pihak industri perlu menanda tangani 'letter of commitment' terhadap program Penjana yang akan dirasmikan Perdana Menteri pada 28 September depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian UMS-Medical Specialist Community Outreach Team (UMS-MedSCOT) anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr ChM Taufik Yap Yun Hin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Rosli Yaakub, Dekan FPSK, Professor Dr Mohammad Saffree Jeffree dan Pengerusi MPKK Kampung Tanjung Batu, Abd Fatah Mohidin.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji inisiatif dan penganjuran program UMS-MedSCOT yang menyediakan perkhidmatan kesihatan pakar perubatan kepada komuniti yang menjangkau kawasan luar bandar.

Katanya, menerusi perkhidmatan MedSCOT ini, pastinya rakyat di komuniti luar bandar akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 2:51 PM