KEMALANGAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Dua maut, manakala seorang parah dalam nahas membabitkan sebuah kereta yang bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Hospital Sungai Siput, dekat sini, malam tadi.

Dalam nahas 10.14 malam tadi, mangsa maut masing-masing berumur 20 dan 22 tahun yang menaiki Proton Saga FLX disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa parah adalah penumpang hadapan Proton Exora.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Ahmad Khaizam Mohd Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua mangsa maut itu terbabas sendiri sebelum memasuki lorong bertentangan, sewaktu cuaca hujan.

"Ketika kejadian, Proton Saga itu menghala ke Kuala Kangsar dari arah Ipoh, manakala Proton Exora dari arah bertentangan," katanya sewaktu dihubungi hari ini.

Mangsa maut dihantar ke Hospital Sungai Siput.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung nahas itu pada 10.14 malam sebelum mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bagi operasi menyelamat.

Katanya, mangsa maut dalam keadaan tersepit dalam Proton Saga berkenaan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 8:42 AM