GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumahnya bagi maksud perhambaan.

Tertuduh, Yew Lee See, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan itu yang dibaca mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan Sumila, 31, bagi maksud eksploitasi pengabdian di sebuah rumah di Hala Desa Pantai 2, Pantai Remis, Seri Manjung antara 2019 sehingga 20 Mei lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda mengikut Seksyen sama.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir dengan tertuduh diwakili peguam, Ricky Hong.

Hakim menetapkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin sementara menunggu 22 September depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan tertuduh bersama dua anaknya yang masing-masing berusia 17 dan 23 tahun, dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos lalu selepas dipercayai mendera, mengurung, dan memaksa Sumila yang juga pembantu rumah mereka untuk bekerja tanpa gaji.

Laporan itu turut memaklumkan jaminan yang diberikan polis adalah sementara menunggu dokumentasi lengkap termasuk laporan perubatan mangsa yang mana mangsa dikatakan mengalami cedera ringan akibat dipukul.

Sementara itu, Naidatul Athirah berkata, dua wakil Kedutaan Indonesia turut mengiringi Sumila dalam sebutan kes hari ini, dengan Sumila akan ditempatkan sementara di sebuah rumah perlindungan yang terletak di utara tanah air.

Katanya, pendakwaan tidak akan membabitkan pertuduhan mendera mangsa kerana mendapati tiada unsur menggunakan kekerasan terhadap mangsa.

"Kita hanya tuduh si emak (tertuduh) seorang sahaja manakala (dua) anaknya kita tidak tuduh. Kita tuduh (pertuduhan) biasa (eksploitasi) sahaja, tidak membabitkan unsur menggunakan kekerasan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 11:52 AM