FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG pemandu e-hailing sambilan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 11 pertuduhan memperdagangkan 10 wanita warga asing bagi maksud eksploitasi seks.

Tertuduh, Soo Lian, 40, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa di hadapan Hakim Azura Alwi dengan memperdagangkan tujuh warga Bangladesh dan seorang warga India berusia antara 19 dan 31 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi, pada 10.40 pagi, 4 Julai lalu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Azman Ahmad, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan perbuatan sama terhadap tiga lagi wanita warga Bangladesh berusia antara 20 dan 37 tahun bagi tujuan sama pada tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S.Kirubini tidak menawarkan sebarang jaminan namun jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan tinggi memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Peguam Tan Kian Peng, yang mewakili Soo memohon jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis selain perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya melapor diri di balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, di hadapan Azman, Tan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan sama (RM50,000) bagi ketiga-tiga pertuduhan dihadapi anak guamnya dan permohonan peguam dibenarkan serta tarikh sama (15 Ogos) ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:33 PM