ANGGOTA bomba membawa mangsa yang ditemui lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali Bayu Dingin, Kuala Kubu Bharu, hari ini. Foto Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membawa mangsa yang ditemui lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali Bayu Dingin, Kuala Kubu Bharu, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK lelaki yang hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali Bayu Dingin, Kuala Kubu Bharu, hari ini, ditemukan lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, mayat Abdul Wafi Wuuzir Abd Rashid, 6, ditemui pasukan penyelamat pada 5.44 petang tadi.

"Mangsa ditemui di celah batu di dalam sungai berkenaan dan operasi membawa keluar mayat berdepan kesukaran kerana arus masih deras dan tinggi.

"Anggota bomba menggunakan kaedah menyeberang sungai sambil membawa pengusung bagi membawa keluar mangsa dari lokasi kejadian," katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan mangsa dikhuatiri lemas, manakala empat individu lain termasuk dua wanita sempat diselamatkan selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 3 petang itu.

Berita berkaitan

Budak lelaki hilang, 4 selamat angkara kepala air

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 8:41 PM