MAYAT mangsa ditemukan jam 10.10 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
MAYAT mangsa ditemukan jam 10.10 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Polis menafikan dakwaan kononnya tiga individu lemas dibawa arus kepala air ketika mandi di Air Terjun Burmese Pool, Bukit Larut, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, hanya seorang lelaki berusia 28 tahun yang lemas dalam kejadian kepala air itu.

"Mangsa dikenali sebagai S Jeremy Anthony, 28, berasal dari Pulau Pinang dan mayat ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian jam 10.10 pagi tadi.

"Mayat dibawa ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan berita tidak tepat mengenai kejadian itu kononnya terdapat tiga mangsa dilaporkan hilang akibat dibawa arus kepala air.

Menurutnya, berita tular itu menimbulkan kegusaran kepada orang awam.

Beliau berkata, maklumat yang tidak tepat boleh ambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razlam berkata, sekumpulan pengunjung ke lokasi kejadian pada jam 3.30 petang semalam untuk beriadah.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, ketika mereka bersiap pulang berikutan hujan, mangsa dilihat pergi ke seberang sungai untuk mengambil beg galas.

"Ketika hendak berpatah balik, mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam sungai. Pada waktu sama berlaku kejadian kepala air yang deras dari arah hulu.

"Mangsa dikatakan dibawa arus yang laju dan kelibat tidak ditemukan.

"Susulan laporan yang diterima gerakan mencari mangsa dibuat dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dihentikan pada jam 8 malam berikutan hujan lebat dan arus deras," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi mencari disambung semula pada jam 8.05 pagi dan pada jam 10.10 pagi, mayat mangsa ditemukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 3:18 PM