GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA kerana tidak dipinjamkan motosikal, seorang lelaki bertindak memecahkan beberapa barang rumah selain mengugut membunuh kakak tirinya dalam tiga kejadian berasingan di kediaman mereka di Taman Sri Gombak, Gombak, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 39 tahun menyedari cermin pintu rumah pecah akibat perbuatan adik tirinya, 34, kira-kira 2 petang, Khamis lalu.

Katanya, wanita berkenaan juga memaklumkan adik tirinya itu ada mengugut untuk membunuhnya selepas dia enggan meminjamkan motosikal kepada suspek pada Ahad lalu.

"Suspek turut bertindak memecahkan meja, kerusi dan sinki di rumah mereka yang disedari mangsa selepas dia bangun tidur 4 petang pada Isnin lalu.

"Kejadian yang berlaku itu menyebabkan mangsa berasa takut serta trauma ketika berada di rumah dan dia membuat laporan di Balai Polis Gombak berhubung perkara itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, hasil maklumat itu, pihaknya membuat serbuan di rumah mereka di Taman Sri Gombak bagi menahan suspek pada 12.15 tengah malam tadi.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Gombak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 11:52 AM