HAKIMAH Mohd Yusoff
HAKIMAH Mohd Yusoff
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilantik sebagai Ketua Pengarah yang baharu berkuat kuasa Isnin ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pemilihan Hakimah berdasarkan perkhidmatannya selama 30 tahun khusus di dalam Jakim.

"Pelantikan ini menjadi sejarah kepada Jakim apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.

"Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelantikan Hakimah sebagai Ketua Pengarah Jakim bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu.

Hakimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim pada 1992.

Beliau sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:20 PM