GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


SERAMAI 48,605 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya ditawarkan ke 20 Universiti Awam (UA) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2020/2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 58,668 permohonan daripada calon lepasan STPM dan setaraf dengannya.

Pecahan mengikut jantina menunjukkan calon perempuan adalah sebanyak 40,559 (69 peratus) dan calon lelaki sebanyak 18,109 (31 peratus).

KPT mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar berdasarkan prinsip semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tiada sistem kuota diguna pakai dan sistem ini digugurkan semenjak sesi pengambilan 2002/2003 dan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada calon yang berjaya bermula esok.

Calon yang menerima tawaran perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari bekerja iaitu selewat-lewatnya 26 Ogos ini.

Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui Laman Web UA seperti di Lampiran 1.

Calon yang tidak menerima sebarang tawaran atau gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di http://upu.mohe.gov.my.

Permohonan rayuan melalui UPUOnline Rayuan akan dibuka dalam tempoh 10 hari mulai 18 Ogos 2020 jam 12 tengah hari sehingga 28 Ogos 2020 jam 5 petang.

Tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 4:54 PM