GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang memohon untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) boleh membuat kemas kini dalam UPUOnline mulai Selasa depan.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengemaskinian itu akan dibuka selama tujuh hari mulai 12 tengah hari 15 Jun dan berakhir pada 5 petang, 21 Jun ini.

"Pemohon boleh mengemas kini semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali bagi program pengajian yang telah dipanggil temuduga atau menjalani ujian.

"Hebahan keputusan permohonan UPUOnline lepasan SPM Sesi Akademik 2021/2022 dijangka dibuat pada minggu ketiga Julai ini," kata kementerian itu.

Menurut KPT lagi, selari dengan pembukaan fasa pengemaskinian UPUOnline itu, kementerian akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama rakan strategik Universiti Malaya (UM).

Katanya, program itu diadakan bertujuan memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi tidak terjejas ketika negara sedang mendepani cabaran pendemik Covid-19.

"JMIPT Virtual 2021 membabitkan penyertaan semua pihak berkaitan termasuk UA, Politeknik,Kolej Komuniti, ILKA,Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bahagian Biasiswa, KPT.

"Program ini terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa Pertama pada 15 hingga 21 Jun 2021 khusus untuk pemohon

lepasan SPM dan Fasa Kedua 8 hingga 12 Ogos 2021 kepada pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau setaraf.

"Ia menyediakan 29 slot webinar, sesi 'live chat' dan konsultasi secara berkelompok dan individu oleh pempamer secara virtual, malah kementerian turut mengekalkan jaringan komunikasi sedia ada iaitu talian Hotline, Sistem Maklum Balas dan emel rasmi sepanjang program berlangsung," katanya.

Orang ramai terutama pemohon, ibu bapa, penjaga, guru bimbingan dan kaunseling dijemput sama-sama menyertai program berkenaan.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungiBahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam di talian 03-88708200, emel di [email protected] atau http://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 2:41 PM