SEMAKAN dalam talian. FOTO NSTP
SEMAKAN dalam talian. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ditawarkan ke universiti awam, institut pendidikan guru, kolej matrikulasi, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahitan awam bagi sesi akademik 2020/2021.

Ia membabitkan lanjutan pengajian ke peringkat sijil, asasi, matrikulasi, diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada calon yang berjaya bermula esok.

"Calon perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari iaitu selewat-lewatnya pada 8 Jun ini.

"Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA. Tarikh pendaftaran pelajar baharu bermula 5 Jun hingga 4 Januari 2021 mengikut IPTA masing-masing," katanya.

Menurutnya, KPT mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

"Berdasarkan prinsip itu, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA.

"Tiada sistem kuota diguna pakai dan sistem ini sudah digunakan sejak sesi pengambilan 2002/2003," katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan calon yang tidak menerima sebarang tawaran atau gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di laman sesawang http://upu.moe.gov.my.

"Permohonan rayuan melalui UPUOnline akan dibuka dalam tempoh lima hari bekerja mulai 12 tengah hari, hari ini sehingga 5 petang, 10 Jun ini.

"Tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

"Dasar pemilihan rayuan pelajar tertakluk kekosongan tempat ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan," katanya.

Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) membuka kemudahan talian hotline dari 8.30 pagi hingga 4 petang mulai hari ini hingga 10 Jun depan untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:37 PM