Foto hiasan
Foto hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


RANG Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 dibentangkan hari ini supaya Perdana Menteri tidak diberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hasan membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur dan dimaklumkan bacaan kali kedua dan ketiga juga akan dijalankan dalam persidangan kali ini.

Pindaan itu bertujuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai kawasan keselamatan.

Akta MKN diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 2015 dan berkuatkuasa 1 Ogos 2016.

Mengikut Akta MKN sebelum ini, peruntukan itu diberikan kepada Perdana Menteri bagi menetapkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa individu, kenderaan atau bangunan tanpa waran.

Pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 dibentang di Dewan Rakyat April tahun lalu namun ditarik balik kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 4:37 PM