GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RANG Undang-Undang Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) tanpa Fasal 88A dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Ia dibentangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bacaan kali pertama pada sesi pagi sidang Dewan Rakyat.

Pindaan itu menggugurkan Fasal 88A pada akta berkenaan bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara persetujuan sebelah pihak.

Azalina dalam kenyataan medianya berkata, kerajaan berpendirian bahawa pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta keputusan kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan tiada mana-mana pihak mencabar kesahan undang-undang di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undang-undang itu demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Selain itu, ia memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak sehingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara serta terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 3:26 PM